postheadericon Soalan Lazim

1.         Bagaimana latarbelakang Majaari?

 

  

Industri perkhidmatan air negara telah distrukturkan semula dengan pengenalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Akta 654 (SPAN) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)  yang telah diwartakan pada 20 Julai 2006 dan masing-masingnya  telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2007 dan 1 Januari 2008. Lanjutan dari pengenalan akta tersebut Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majaari Services Sdn Bhd bagi menguruskan hal-hal berkaitan dengan pembetungan. Majaari adalah berasal daripada perkataan bahasa arab iaitu bermaksud ’mengalir’ yang amat sesuai dengan aktiviti utama Majaari.

  

2.         Apakah tujuan penubuhan dan perkembangan terkini mengenai Majaari?

  

Majaari ditubuhkan pada Disember 2007, merupakan operator utama yang memberikan perkhidmatan pembetungan di negeri Kelantan. Antara perkhidmatan pembetungan yang disediakan termasuklah:

  • Operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan
  • Perkhidmatan pengosongan tangki najis/septik/enapcemar (desludging) dan membersihkan sumbatan
  • Agensi Perakuan Pembetungan (APP) yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Kini, operasi dan aktiviti Majaari berjalan lancar termasuk pengambilalihan  operasi dan penyelenggaraan (O&M) loji rawatan kumbahan awam daripada PBT dan juga pemaju. Loji-loji kumbahan awam di lapan lokasi, 13 stesen pam dan dianggarkan 29 kilometer paip pembetung sedang dibaikpulih dan dinaiktaraf bagi memastikan ia dapat berfungsi dan dapat menyediakan perkhidmatan sistem pembetungan yang teratur dan efisien kepada pengguna.

 

3.         Majaari menyediakan perkhidmatan membersihkan/mengosongkan tangki najis dan membersihkan sumbatan, bagaimana perkhidmatan ini dilaksanakan?

  

Sebelum ini perkhidmatan ini disediakan oleh PBT dan terdapat juga kontraktor persendirian yang menyediakan perkhidmatan ini. Penubuhan Majaari adalah bagi melihat keseluruhan pembangunan sistem pembetungan iaitu perkhidmatan membersihkan tangki najis dan membersihkan sumbatan di seluruh negeri Kelantan. Perkhidmatan akan diberikan setelah mendapat permohonan atau permintaan dari orang ramai, institusi-institusi, premis perniagaan, kilang-kilang atau sesiapa sahaja. Walaubagaimanapun, perkhidmatan yang diberikan tidak termasuk pelupusan sisa buangan industri. 

Perkhidmatan disediakan bagi negeri Kelantan. Pada masa ini terdapat dua cara permohonan iaitu:

  • Datang ke kaunter pejabat di Jln Tg Ismail, Off Jln Telipot, Kota Bharu untuk membuat permohonan dan pembayaran.
  • Manakala bagi pemohon yang jauh atau tiada masa hendak datang ke pejabat, mereka boleh bank-in dalam akaun Syarikat dan memaklumkan nombor slip tersebut, selepas itu Majaari akan menetapkan masa untuk perkhidmatan.

 Rujuk gambarajah di bawah bagaimana kumbahan daripada tangki septik anda dilupuskan.

BAGAIMANA_KUMBAHAN_DILUPUSKAN

 

4.         Berapa lama tempoh perkhidmatan diberikan setelah tempahan dibuat?

  

Dapat diberikan dalam tempoh 3 hari selepas tempahan dibuat. Khidmat pengosongan tangki najis/septik disediakan setiap hari Sabtu hingga Khamis dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Kerja-kerja juga dilaksanakan di luar waktu kerja biasa bergantung kepada permintaan dan jadual kerja yang ditetapkan ( hari minggu/cuti awam). Pada masa ini Majaari menyediakan  lori tangki pelbagai kapasiti yang mencukupi dan akan ditambah dari masa ke semasa berdasarkan keperluan serta memenuhi permintaan daripada orang ramai yang semakin meningkat.

Proses mengosongkan tangki septik untuk mengeluarkan lebih kurang 80% daripada kandungan enapcemar di dalam tangki septik mengambil masa 20 hingga 30 minit bergantung kepada muatan di dalam tangki septik. Baki enapcemar yang tinggal adalah untuk proses rawatan kumbahan seterusnya.

 

5.         Apa itu rawatan kumbahan/pembetungan?

 

Rawatan kumbahan adalah satu sistem di mana air kumbahan daripada rumah atau mana premis yang disalirkan ke loji rawatan kumbahan melalui paip pembetungan untuk menjalani proses rawatan pepejal dan air sisa sebelum efluen dilepaskan kembali ke perairan.

 

6.         Apakah Tangki Septik Individu (IST)?

 

Tangki septik individu (IST) merupakan jenis sistem pembetungan yang paling 'ringkas' dan mula dibangunkan di Perancis pada tahun 1860.

Sesebuah IST itu meliputi dua ruang yang bersambung secara bersiri. Di dalam ruang yang pertama, pepejal daripada kumbahan akan mendap dan membentuk "enapcemar" manakala gris dan minyak akan terapung di permukaan dan membentuk lapisan skum. Efluen di antara lapisan skum dan enapcemar akan mengalir ke ruang kedua di mana pemendapan seterusnya akan berlaku. Akhirnya, efluen akan meninggalkan ruang yang kedua dan akan dilepaskan ke longkang atau dibenarkan untuk menyerap ke dalam tanah.

Ia adalah tangki mendapan yang mana pepejal diasingkan dengan air kumbahan di dalam tangki dan air dilepaskan ke dalam parit atau longkang dan seterusnya ke dalam sungai atau tasik. Tangki septik juga dikenali sebagai kerek/palong, tandas curah atau apa-apa sistem pembetungan yang ditentukan oleh SPAN. Tangki septik merupakan tangki mendapan sahaja dan tidak merawat kumbahan sepenuhnya. Enapcemar dari tangki najis perlu dikosongkan 3 tahun sekali.

Kebanyakan tangki septik yang dipasang tidak mengikut spesifikasi (non standard) iaitu memasang ‘kerek’/palong/tandas curah sehingga beberapa buah di dalam kawasan rumah dan tiada paip efluen/air buang. Sebenarnya tangki septik yang standard hanya mempunyai satu tangki saja bagi sesebuah rumah atau premis yang perlu dipasang bagi sesebuah rumah dan air efluen disalurkan ke longkang/parit/alur/ berdekatan. Semua air kumbahan/buangan dari rumah perlu disalurkan ke dalam tangki najis tersebut untuk dirawat sebelum air efluen disalirkan keluar. Hanya air hujan saja tidak perlu disalirkan ke dalam tangki septik.

Masih banyak rakyat di negeri ini masih menggunakan air telaga yang tidak terdapat apa-apa rawatan sebelum digunakan, walaupun warna zahirnya nampak bersih tetapi ia berkemungkinan besar telah tercemar oleh kuman-kuman berpunca dari resapan air dari tangki najis dibawah tanah.

 

7.         Mengapa Tangki Septik Perlu dikosongkan?

 

 Jika tangki septik tidak dikosongkan secara berjadual, maka kumbahan akan mengalir ke dalam sistem pengairan kita dan mengakibatkan kehidupan air di dalam sungai atau laut terjejas. Ia juga membahayakan kesihatan orang ramai kerana kumbahan mentah mengandungi bakteria Campylobacter, crytosporidium parvum yang boleh menyebabkan penyangkit berjangkit bawaan air seperti taun, demam kepialu dan hepatitis A.

 

 

8.         Sebenarnya berapa kerap tangki najis perlu dikosongkan?

 

Mengikut perkiraan sesebuah tangki najis/septik  perlu dikosongkan setiap 3 tahun sekali. Ini akan membantu mengelakkan air efluen/buangan mencemar alam sekitar. Ini amat kritikal terutama bagi kawasan sekitar Kota Bharu kerana pada masa ini sumber air bagi Air Kelantan Sdn. Bhd. untuk kegunaan diambil daripada air bawah tanah. Jadi cuba bayangkan dengan penduduk yang padat di kawasan ini menggunakan tangki septik yang tidak standard ( seperti kerek, tandas curah dan sebagainya) yang mana air buangan meresap masuk ke dalam tanah dan dalam masa yang sama tidak dibersihkan/dikosongkan secara berkala maka air efluen tersebut berpotensi mencemar air bawah tanah. Dijangkakan  10 atau 15 tahun lagi jika perkara ini tidak diberi perhatian atau tindakan awal mencegah, kemungkinan air bawah tanah akan tercemar dan tidak boleh digunakan serta amat mahal jika sekiranya dirawat.

 

 

9.         Bagaimana pula dengan sistem pembetungan yang bersambung (Loji Rawatan Kumbahan) dan kelulusan permohonan pelan pembetungan? 

 

Masyarakat atau pengguna di negeri Kelantan umumnya belum atau tidak menyedari  atau tidak mengetahui sistem pembetungan yang bersambung. Ini berpunca dari sikap tidak ingin mengambil tahu, kesedaran dan juga pendidikan tentang sistem pembetungan. Bila disebut loji rawatan kumbahan, yang terbayang di fikiran semua orang adalah kolam najis sahaja dan jarang yang mengetahui kewujudannya dalam bentuk lain. Apabila terdapat loji kumbahan maka akan adanya paip pembetungan yang bersambung di bawah tanah dari mana-mana premis yang menyalurkan air kumbahan ke loji. Masyarakat mungkin tidak mempedulikan apa seterusnya dibuat dengan air kumbahan tersebut.

 

Tugas Majaari adalah memastikan paip pembetungan dan loji kumbahan  diselenggara dengan baik bagi memastikan tiada sumbatan berlaku serta yang paling penting loji kumbahan berfungsi dengan sempurna bagi merawat air kumbahan yang mengalir memasuki loji sebelum air efluen yang mematuhi piawaian JAS sebelum dilepaskan ke longkang/alur/sungai atau kolam.

 

Pihak Majaari juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa teknikal oleh pusat sehenti (OSC) di setiap PBT selaras dengan perlantikan sebagai APP oleh SPAN bagi memproses, memperaku dan meluluskan pelan pembetungan. Permohonan diterima melalui seluruh OSC di 12 PBT. Semua pelukis pelan, arkitek, jurutera dan pemaju hendaklah memahami keperluan pembetungan dalam garispanduan SPAN iaitu Malaysia Sewerage Industri Guideline Vol 1 hingga 5 bagi mendapatkan kelulusan tersebut.

 

 

10.       Apakah kepentingan Majaari kepada rakyat negeri Kelantan? Dan apakah kerjasama yang diperlukan dari Kerajaan Negeri Kelantan dan rakyat keseluruhannya?

 

 

Bila disebut pembetungan atau kumbahan, kebanyakan masyarakat kurang selesa dengan keadaan tersebut. Persepsi amat negatif tentang kepentingan dan ramai yang mengambil sikap yang tidak acuh dalam membangunkan sistem pembetungan, walhal ia boleh mengganggu dan merosakkan ekosistem seandainya tidak dirancang dengan baik. Majaari tampil memberikan perkhidmatan pembetungan kepada rakyat dengan pembangunan sistem pembetungan yang terancang serta dalam masa yang sama memikul amanah dan tanggungjawab dalam usaha memelihara alam sekitar.

Bermula di peringkat awal lagi dalam perancangan sistem pembetungan, Majaari bertanggungjawab untuk memperakui pelan pembangunan tersebut melalui agensi perakuan pembetungan (APP). Majaari akan memastikan setiap pembangunan daripada sebuah rumah sehinggalah projek perumahan atau kawasan industri mesti mendapat kelulusan dan mempunyai sistem pembetungan yang baik dan sistematik. Majaari berperanan untuk merawat sisa kumbahan bagi melestarikan ekosistem dan kitaran air yang bersih selaras dengan ketetapan Kerajaan Malaysia. Jadi, Majaari adalah entiti yang amat penting kepada rakyat Kelantan dalam menjaga kesejahteraan, keselesaan dan kesihatan mereka. Ingat pembetungan/kumbahan, ingat Majaari.

Dalam menjayakan hasrat ini kerajaan negeri dan kerajaan pusat telah memberikan  kerjasama dan sokongan yang baik terutamanya dalam penyediaan infrastruktur. Selain itu juga Majaari mendapat kerjasama dan sokongan yang berterusan dari pihak SPAN, JAS, PBT, Jabatan Kesihatan dan lain-lain di dalam usaha meningkatkan perkhidmatan pembetungan ini. Masyarakat juga haruslah sedar tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan perancangan pembangunan sistem pembetungan yang baik, memberi kerjasama berterusan dan bersedia menyumbang ke arah itu serta menerima transformasi sistem pembetungan secara keseluruhannya. Kita bukan hanya tinggalkan harta kepada generasi akan datang, tetapi kita tinggalkan juga mereka dengan alam sekitar yang bersih.

 

11.       Apakah Prospek dan harapan Majaari bagi masa hadapan.

 

Majaari sedang merancang untuk membangunkan loji rawatan kumbahan berpusat (centralized) dengan teknologi dan berkapasiti tinggi bagi memenuhi perkembangan dan pertumbuhan penduduk. Kita mengharapkan agar makna Majaari (mengalir) akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat dengan mengalirnya jalinan kerjasama semua pihak bagi membangunkan sistem pembetungan yang sistematik, dan dapat menjaga kelestarian alam sekitar. Majaari akan berperanan untuk merealisasikan dasar kerajaan, memikul amanah yang diberikan dan akan berusaha menjadi model yang terbaik.

 

Sekiranya ada persoalan lain, sila hantarkan e-mel kepada kami (Klik Disini)